Penulisan Ilmiah

Penggunaan Animasi Dalam Pendidikan


ABSTRAK

   Perkembangan  teknologi maklumat dan multimedia pada masa kini semakin meluas dan digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada audien. Kini, penggunaan animasi juga salah satu teknik yang digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada orang lain. Cara menyampaiaan maklumat sangat penting untuk memdapat kebekersanan maklumat tersebut sampai kepada sasaran. Apabila digunakan lebih kreatif ia dapat menarik minat untuk membaca dan melihat maklumat tersebut. Begitu juga dengan penggunaan dalam pendidikan. Bidang pendidikan tidak ketinggalan untuk mendapat manfaant daripada penggunaan animasi ini untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran pelajar. Dalam merancang pengajaran di dalam kelas, kaedah pengajaran dan pembelajaran hendaklah menarik dan memberi kesan kepada pelajar. Kemahiran dan keupayaan guru melaksanakan pengajaran melalui teknik yang betul dan terkini dapat merangsang pelajar dalam pembelajaran. Penggunaan animasi ini mampu menarik minat terhadap pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Teknik pengajaran menggunakan animasi berupaya menjadikan pembelajaran lebih menarik dan pelajar akan lebih menumpukan perhatian dalam pengajaran yang diajar oleh guru. Disamping kebaikan-kebaikan penggunaan animasi dalam pendidikan terdapat juga keburukan yang perlu dititikberatkan oleh guru. Perkara ini memerlukan perancangan guru untuk pembelajaran yang lebih berkesan dan tidak mempunyai kesan daripada penggunaan teknologi tersebut.
  

1.0   PENGENALAN

            Animasi digunakan untuk memberi gambaran pergerakan bagi sesuatu objek. Ia membolehkan sesuatu objek yang pegun atau static dapat bergerak dan kelihatan seolah-olah hidup. Animasi terdapat dalam dua dimensi, tiga dimensi ataupun melalui pelbagai kesan khas. Pakar animasi yang juga dikenali sebagai animator diperlukan dalam jumlah yang banyak bagi menghasilkan suatu animasi yang berkualiti tinggi dan ia memerlukan perancangan yang teliti serta komitmen yang tinggi. Kos penghasilannya juga agak tinggi disamping tempoh masa yang diperlukan bagi membentuk animasi yang dikehendaki juga agak lama. Penggunaan animasi dalam sesuatu persembahan maklumat juga dapat menceriakan proses penyampaiannya. Ia juga membolehkan sesuatu persembahan yang disampaikan itu kelihatan lebih hidup atau realistic berbanding penggunaan teks semata-mata. Di samping itu, animasi juga mampu memberi penegasan kepada sesuatu penyampaian bagi membolehkan perhatian para penonton difokuskan kepada isi kandungan yang ingin disampaikan.


2.0   ISI KANDUNGAN

2.1   DEFINISI

Animasi berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud ‘dihidupkan’ atau ‘bring to life’. Animasi adalah satu perbuatan atau proses menjadikan sesuatu agar kelihatan hidup. Definisi animasi yang lebih menyeluruh dapat dilihat daripada takrifan yang diberikan oleh Neo & Neo ( 1997 ), “ animasi merupakan satu teknologi yang membolehkan imej pegun kelihatan seolah-olah hidup, dapat bergerak, beraksi dan bercakap. ini dimungkinkan dengan menerapkan satu teknik kinematografi grafik dan seni plastik untuk menghasilkan atau memberi ilusi pergerakan dan penghidupan kepada lukisan kartun, lukisan tangan, patung dan objek tiga dimensi “. Menurut kamus dewan bahasa dan pustaka animasi merujuk kepada satu perbuatan atau proses menjadikan sesuatu agar kelihatan hidup.

Animasi dimungkinkan kerana fenomena biological yang dikenali sebagai ‘persistence of vision’. Sesuatu objek yang dilihat oleh mata manusia akan dipetakan pada retina dalam satu jangka masa yang singkat selepas ianya dilihat. Ini membolehkan berlakunya satu siri imej yang berubah sedikit demi sedikit dengan kadar yang pantas secara silih berganti sehinggalah ia kelihatan dan menghasilkan satu ilusi yang hidup serta bergerak secara sendiri. Dengan mengubah sedikit kedudukan atau rupa bentuk sesuatu objek dengan pantas, mata kita akan mengandaikan perubahan tersebut sebagai satu pergerakan atau animasi.

 Animasi adalah gambar bergerak berbentuk dari sekumpulan objek ( gambar ) yang disusun secara beraturan mengikuti alur pergerakan yang telah ditentukan pada setiap pertambahan hitungan waktu yang terjadi. Gambar atau objek yang dimaksudkan dalam definisi di atas ialah berupa gambar menusia, haiwan mahupun tulisan. Pada proses pembuatannya, pereka animasi atau lebih dikenali sebagai animator harus menggunakan logical pemikiran untuk menentukan alur gerak suatu objek dari keadaan awal hingga keadaan akhir objek tersebut. Perancangan yang matang dalam perumusan alur gerak berdasarkan logic yang tepat akan menghasilkan animasi yang menarik untuk dipersembahkan. Animasi juga merupakan satu teknik yang menampilkan gambar berurutan demikian rupa sehingga penonton merasakan adanya ilusi gerakan ( motion ) pada gambar yang ditampilkan. Secara umum ilusi gerakan merupakan perubahan yang diadaptasi secara visual oleh penonton sehingga tidak harus perubahan yang terjadi merupakan perubahan posisi sebagai makna dai istilah ‘gerakan’. Perubahan warna juga dapat dikatakan sebagai perubahan animasi.


2.2   PRINSIP ANIIMASI

      Animasi mempunyai 5 prinsip iaitu mempunyai (1) blok khas untuk paparan animasi, (2) hanya animasi yang releven sahaja dimuatkan, (3) animasi yang dihasilkan mestilah tidak padat maklumat dan kompleks, (4) papar animasi tersebut mestilah dikawal oleh pengguna, dan (5) memperkukuhkan animasi dengan teks/ naratif. (Zamzuri,2012). Prinsip animasi yang betul akan memberi peluang kepada pelajar untuk bersama-sama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna. Antara prinsip-prinsip animasi yang diberi penekanan untuk digunakan dalam persembahan pendidikan adalah:

Prinsip 1: Mempunyai blok khas untuk paparan animasi
Bagi membantu pemahaman para pelajar, teknik penyusunan animasi yang betul memainkan peranan yang penting. Oleh itu, pembahagian antara blok-blok perlulah diselaraskan supaya tidak berserabut dan teratur. Contohnya adalah seperti blok untuk isi kandungan, blok animasi atau grafik, blok tajuk, blok butang dan sebagainya. Pengasingan antara blok-blok yang berkaitan akan membantu meningkatkan tumpuan ingatan para pelajar supaya dapat memahami dengan lebih jelas. (Zamzuri 2012)

Prinsip 2: Hanya animasi yang releven sahaja dimuatkan
Imej animasi adalah elemen yang sangat diperlukan dalam perisian jika menggunakan kaedah penceritaan. Kaedah pengajaran penceritaan adalah sesuai digunakan untuk pengajaran pelbagai subjek. (Robiatul&Halimah ,2011). Hal ini kerana animasi adalah cara yang paling sesuai untuk menarik perhatian murid serta menjadikan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Mata manusia lebih cenderung kepada benda-benda yang bergerak berbanding benda yang statik. Oleh itu, penggunaan animasi lebih berkesan jika dibandingkan dengan pembacaan. Namun begitu, animasi tersebut perlulah releven dengan subjek yang hendak diajar serta tidak terlalu padat kerana boleh menghalang pelajar daripada menumpukan kepada maklumat yang sepatutunya dipelajari.

Prinsip 3: Tidak padat dengan maklumat
Animasi yang dihasilkan mestilah tidak padat dengan maklumat kerana boleh memberi kesan yang negative kepada pelajar. Maklumat yang terlalu padat juga boleh menyebabkan pelajar menjadi bosan dan tidak dapat menumpukan pada pelajaran.
  
Prinsip 4: Paparan dikawal oleh pengguna
Kawalan paparan oleh pengguna adalah penting kerana memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan pemikiran kognitif. Hal ini kerana jika animasi tersebut adalah dalam bentuk soalan, pelajar akan memerlukan masa untuk menjawab soalan tersebut dan akan memilih jawapan jika dia telah bersedia. Hal ini akan memberikan masa kepada pelajar tersebut unutk memproses maklumat. Jika paparan tersebut tidak dikawal oleh pengguna, paparan tersebut akan berubah secaraa utomatik tanpa persediaan pengguna dan menyebabkan pengguna tidak dapat memproses maklumat yang baru dengan maklumat yang lama. (Zamzuri,2012).

Prinsip 5: Memperkukuhkan animasi dengan teks atau grafik
Penggunaan animasi tanpa teks juga akan menyebabkan kekakburan maklumat kepada para pelajar. Hal ini kerana pelajar tidak dapat memahami maklumat yang baru diterima jika mereka tidak mempunyai maklumat sedia ada. Terdapat sesetengah pelajar juga tidak dapat memahami maksud sesuatu pembelajaran jika menggunakan animasi. Hal ini kerana setiap keupayaan pelajar adalah berlainan. Perbezaan pada warna teks pula boleh membantu murid-murid untuk menguasai kemahiran mengeja dan membaca. Penggunaan font yang bersesuaian dan besar juga boleh membantu penglihatan pelajar dalam jarak yang jauh.
  

2.3   TUJUAN PENGGUNAAN ANIMASI DALAM PENDIDIKAN

            Penggunaan  animasi dalam pendidikan semakin meluas. Penggunaan animasi dalam pendidik animasi sudah lama diamalkan di Negara-negara barat seperti Amerika Syarikat dan sudah terbukti keberkesanannya. Ramai penyelidik mengatakan bahawa proses pembelajaran akan jadi lebih berkesan sekiranya dilaksanakan dalam keadaan yang tidak formal dan santai. Hal ini akan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan serta menarik minat pelajar untuk turut serta dalam pembelajaran.

            Antara tujuan penggunaan animasi dalam pendidikan adalah untuk menarik minat pelajar. Penggunaan animasi mampu menggerakkan hampir kesemua pancaindera pelajar seperti deria penglihatan, pendengaran. Lumrah manusia adalah suka kepada perkara-perkara yang bergerak. Oleh itu, teknik yang digunakan dalam animasi dapat menggerakkan saluran verbal dan visual di dalam emori yang merupakan startegi berkesan dalam memperoleh, memproses, mengekod, menyimpan dan mengingat maklumat di dalam proses pembelajaran (Zamzuri,2012).

            Selain itu, pengguna animasi juga dapat mempengaruhi emosi pelajar (Rashid, Shamsudin& Humaizah, 2012). Kajian yang dilaksanakan menunjukkan bahawa penggunan animasi dalam pengajaran karangan Bahasa Melayu oleh para guru adalah yang paling tinggi iaitu 60 peratus. Animasi dan kartun yang pelbagai bentuk mampu membantu para murid untuk mengingati sesuatu peristiwa dengan lebih jelas. Emosi murid-murid yang stabil dan positif akan lebih menggalakkan para pelajar untuk terlibat aktif di dalam pembelajaran. Animasi dan kartun yang comel dan lucu mampu mengubah emosi pelajar kearah yang lebih stabil.

            Pengguna ananimasi juga boleh digunakan kepada pengajaran kanak-kanak Pendiidkan Khas seperti kanak-kanak Disleksia. Melalui lawatan penyelidik ke Dyslexia International di Brussels, Belgium pada tahun 2010 memdapati bahawa Negara-negara kesatua Eropah telah pun menggunapakai kaedah multimedia sebagai alat bantu pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak Disleksia (Ronaldi, Fadilahwati, Fattawi& Aziah,2011). Hal ini kerana animasi mempunyai ciri-ciri multi-modal yang mana mampu menyampaikan maklumat menggunakan kombinasi suara, bunyi dan visual yang boleh merangsang kanak-kanak Disleksia. Kanak-kanak kini perlu diajar menggunakan kaedah multi sensori supaya mereka dapat menerima pembelajaran dengan mudah.


2.4   KELEBIHAN DAN KELEMAHAN PENGGUNAAN ANIMASI DALAM PENDIDIKAN

Penggunaan animasi juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan. Animasi mampu memberikan pelbagai kelebihan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kelebihan animasi yang boleh kita lihat ialah mampu menarik minat dan perhatian pelajar dengan mudah. Menurut Jamalludin dan Zaidatun (2000) melalui bukunya yang bertajuk Pengenalan Terhadap Multimedia menyatakan bahawa animasi merupakan proses pertambahan pergerakan daripada imej yang statik menjadi satu paparan grafik yang menarik dengan menggunakan pelbagai kaedah. Animasi juga dianggap sebagai satu set grafik yang dipaparkan dengan pantas dengan menggunakan pelbagai bentuk seperti dalam bentuk siri (frame), objek atau aksara. Oleh sebab itulah, animasi berkemampuan untuk menyampaikan sesuatu maklumat dan informasi dengan cepat dan pantas berbanding dengan penggunaan media yang lain. Secara tidak langsung, pelajar akan memberikan tumpuan dan perhatian yang lebih lama kepada media yang bersifat dinamik ini jika mahu dibandingkan dengan media yang hanya bersifat statik. Memandangkan animasi merupakan perisian yang menggunakan pendekatan penceritaan, ia sangat efektif untuk memberikan rangsangan dan menarik perhatian pelajar di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan. Justeru, proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan baik berpandukan penggunaan animasi yang menarik.

Animasi juga mempunyai kelebihan dalam membantu menyediakan alam persekitaran pembelajaran secara maya. Seperti yang kita sedia maklum, pembelajaran secara maya merupakan pembelajaran yang melibatkan penggunaan aplikasi atas talian dan keadaan ini akan membantu pelajar  untuk belajar dengan lebih meluas tanpa sebarang sempadan. Persekitaran pembelajaran secara maya dilakukan dengan tujuan untuk mengelakkan diri daripada menerima sebarang persekitaran yang membahayakan, tidak boleh disediakan atau mungkin melibatkan kos yang tinggi. Sekiranya pengaplikasian animasi ini digunakan dengan cara yang berhemah dan berkesan, ia berkemampuan untuk mewujudkan satu persekitaran pembelajaran yang lebih menyeronokkan, sekaligus akan menarik perhatian pelajar dan meningkatkan motivasi dalam diri pelajar serta merangsang pemikiran pelajar untuk berfikir secara aktif. Animasi ini akan membantu dalam proses mengurangkan bebanan pemikiran pelajar semasa menerima sesuatu mesej, maklumat atau pengetahuan baru yang disampaikan oleh guru.

Pengaplikasian animasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran mampu untuk menyampaikan dan menerangkan sesuatu konsep yang kompleks dengan mudah dan berkesan dalam bentuk visual dan dinamik. Proses untuk membuat sesuatu hubungan dan perkaitan antara sesuatu konsep yang kompleks akan menjadi lebih mudah kerana segala perkara tersebut dapat  diselaras dan disesuaikan ke dalam minda pelajar. Seterusnya proses pemahaman dapat ditingkatkan dan dikembangkan ke tahap yang lebih tinggi serta mengekalkan maklumat yang diterima di dalam ingatan dalam tempoh yang lebih lama. Dengan penggunaan animasi, perkara-perkara yang tidak boleh dilihat dengan pancaindera akan dapat diterangkan dengan mudah dan baik. Sebagai contohnya, guru mengajar subjek sains dengan menerangkan konsep pergerakan elektron dan lubang. Namun begitu, guru tidak perlu lagi melukis setiap pergerakan bagi menerangkan pergerakan elektron dan lubang kepada pelajar, tetapi guru hanya perlu menayangkan dan memaparkan pengajaran tersebut dalam bentuk animasi sahaja. Keadaan ini sekaligus akan membantu pelajar untuk lebih memahami isi pengajaran yang disampaikan. Secara keseluruhannya, persembahan secara visual melalui pengaplikasian animasi mampu memudahkan proses penerangan konsep atau demonstarsi sesuatu kemahiran.

Selain itu, animasi mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam sesuatu mata pelajaran. Dalam gabungan komponen-komponen yang menghasilkan multimedia interaktif, animasi merupakan salah satu komponen yang utama dan penting dalam segala perisian untuk tujuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Animasi dapat menghasilkan satu keadaan yang tidak formal. Ketidakformalan ini akan merangsang pemikiran pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran di samping mewujudkan suasana yang menyeronokkan semasa proses P&P berlangsung. Sebagai contohnya, dalam penyelesaian masalah bagi soalan Matematik, penggunaan animasi yang berwarna-warni dan bergerak-gerak di skrin komputer mampu memaparkan proses P&P yang lebih menarik dan menyeronokkan berbanding dengan penggunaan sehelai kertas putih yang statik dan hanya membosankan para pelajar untuk melihatnya. Oleh itu, pelajar dapat belajar dengan baik berbantukan penggunaan animasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Keadaan ini seterusnya akan menggalakkan proses pengajaran yang kondusif kerana unsur-unsur tersebut dikatakan dapat meningkatkan motivasi pembelajaran para pelajar.

Animasi memainkan peranan penting dalam menceriakan lagi persembahan sesuatu informasi dan maklumat yang ingin disampaikan. Pendekatan pengajaran berasaskan multimedia melalui penggunaan animasi mampu memindahkan maklumat berbentuk teks yang statik kepada suatu corak pembelajaran yang lebih baik. Persembahan maklumat berbentuk animasi dapat dilihat secara visual dan menarik dengan satu persembahan secara berbunyi yang merangsang minat, meningkatkan daya peringatan dan memperbaiki kadar kejayaan. Penggunaan kepelbagaian animasi penting bagi memastikan pelajar dapat menumpukan perhatian dan tidak berasa jemu semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Di samping itu, pelajar dapat menguasai setiap peringkat pembelajaran dan dapat menambah capaian kepada pendidikan dalam subjek tertentu.

            Dalam memiliki kelebihan dan keistimewaan, penggunaan animasi juga mempunyai kelemahannya tersendiri. Secara amnya, grafik animasi mempunyai pelbagai kesan positif ke atas pembelajaran dalam situasi yang tertentu. Hal ini demikian kerana maklumat yang disampaikan melalui animasi adalah lebih jelas disebabkan fungsi animasi yang melibatkan pelbagai gerakan dan visual. Walau bagaimanapun, dalam pembelajaran proses yang abstrak dan berterusan, penggunaan animasi berkemungkinan akan mengganggu kefahaman para pelajar. Keadaan ini berlaku disebabkan bebanan maklumat yang banyak melalui persembahan animasi yang akan mengelirukan pelajar. Dalam hal ini, animasi akan meringankan beban pemikiran apabila grafik animasi tersebut dipersembahkan secara berperingkat-peringkat. Persembahan animasi yang dilakukan secara berperingkat dan teratur turut membawa kesan peneguhan kepada proses memahami dan mengingat serta memberikan kemudahan kepada pelajar untuk membentuk sesuatu makna dengan tepat.

            Penggunaan animasi juga akan menyebabkan sesetengah pelajar gagal untuk memahami dan menginterpretasi maklumat grafik berbentuk animasi yang dipaparkan dengan tepat. Kadang kala pelajar akan menyalah tafsirkan grafik animasi yang dipersembahkan dalam sesuatu pembelajaran. Aspek dekorasi atau perhiasan dalam pembelajaran berbentuk animasi juga akan memberikan kesan kepada pelajar. Animasi sebagai dekorasi tidak akan meningkatkan pencapaian sesuatu pembelajaran. Animasi boleh digunakan sekiranya tidak melencongkan perhatian pelajar kepada maklumat di skrin. Walau bagaimanapun, sekiranya keupayaan memproses maklumat maklumat dalam ingatan jangka pendek yang terhad, maka grafik dekorasi tidak diperlukan. Dalam hal ini, animasi sebagai dekorasi akan mengganggu perhatian pelajar. Selain itu, bahan pengajaran dalam bentuk animasi juga mungkin terlalu sukar atau kompleks untuk pelajar terutamanya pelajar yang berusia muda dan masih belum lagi membiasakan diri dengan bahan pengajaran berbentuk animasi tersebut. Oleh itu, pelajar akan kurang dalam memberikan perhatian yang terperinci melalui grafik animasi yang ditunjukkan di skrin komputer.

            Menurut Wilson, penggunaan animasi akan menyebabkan pelajar tidak memberikan perhatian yang mencukupi kepada grafik animasi sehingga mereka tidak memperoleh manfaat daripada maklumat yang disediakan. Dalam hal ini, pelajar akan kurang memberikan perhatian secara efektif kepada animasi dengan memberikan masa yang kurang untuk melihat skrin grafik animasi berbanding grafik yang berbentuk statik. Keadaan ini berlaku disebabkan ketepatan interpretasi maklumat grafik animasi yang memerlukan masa yang mencukupi untuk memahami dan mengekod. Persembahan animasi yang dihasilkan tidak benar-benar mencukupi untuk menghasilkan tahap memproses maklumat yang diperlukan bagi memindahkan maklumat dari ingatan jangka pendek kepada ingatan jangka panjang.



3.0   KESIMPULAN

            Animasi merupakan salah satu teknik untuk menyampaikan maklumat. Penggunaan multimedia animasi yang berkesan dapat meningkatkan pembelajaran pelajar dan pemahaman pelajar. Disamping itu, multimedia animasi dapat membantu guru dalam pengajaran dan pembelajaran apabila menggunakan animasi ini kerana ia tidak melibatkan kos dan mudah digunakan dalam pembelajaran. Multimedia animasi ini mampu meningkatkan kebekersanan dalam sesuatu mata pelajaran. Apabila animasi ini tidak dapat digunakan dengan betul dan maklumat-maklumatnya yang dimasukkan  telalu padat menyebabkan masalah dalam pemahaman pelajar dan kekeliruan mengenai maklumat yang hendaj disampaikan. Seterusnya proses pengajaran dan pembelajaran menjadi tidak bekesan.

            Oleh itu sebagai guru yang mempunyai ilmu dan akan menyampaikan ilmu kepada pelajar haruslah bijak menggunakan teknologi-teknologi masa kini. Penggunakan animasi ini memerlukan perancangan yang tersusun dan teratur. Manakala menggunakan maklumat-maklumat yang hendak disamapikan itu bekesan kepada sasaran. Animasi ini apabila bijak menggunakan dalam pembelajaran maka pengajaran dan pembelajaran akan lebih kelihatan jelas, mudah dan ringkas dalam memahami amaklumat yang ingin disampaikan.
           

4.0   RUJUKAN

Fadli Abdullah & Md Sidin Ahmad Ishak. 2010. Pembangunan Sektor Animasi di     Malaysia: Pendidikan dan Latihan Animasi di Institusi Pengajian Tinggi Awam.    Jurnal Pengajian Media          Malaysia. 12(2): 69-82.

Robiatul A’dawiah Jamaluddin & *Halimah Badioze Zaman. 2011. Pembangunan      Perisian Cerita Animasi Interaktif untuk Pendidikan Sains. Jurnal Teknologi      Pendidikan Malaysia. 1(4): 5-18.

Ronaldi Saleh Bin Umar, Fadilahwati Abdul Rahman, Fattawi Mokhtar & Nor Aziah             Alias. 2011. Menggunakan Animasi di dalam Instruksi Khas Untuk Kanak-Kanak   Disleksia. Jurnal         Teknologi Pendidikan Malaysia. 1(2): 27-38.

Zol Bahri Bazali. 2004. Reka Bentuk Sistem Elektro Pneumatik : Pendekatan Perisian            Simulasi Berasaskan Animasi. Jurnal Penyelidikan Dan Pendidikan Kejuruteraan.1:      35-43.

Ahmad Zamzuri Bin Mohamad Ali. 2012. Lima Prinsip Persembahan Animasi dalam Perisian Pendidikan. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia. 2(1): 15-22.

Abdul Rasid Jamian, Shamsudin Othman & Humaizah Hashim. 2012. Persepsi Guru Terhadap      Penggunaan Kartun dalam Transformasi Pengajaran Penulisan         Karangan Bahasa Melayu.      Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu. 2(1): 129-140.

Awaneesh Gupta. 2010. Animated Models and it’s Global Impact: A Dynamic           Approach. Global Journal of Enterprise Information System. 2(2): 72-77.

Gokhan Aksoy. 2012. The Effects of Animation Teachnique on the 7th Grade Science            and Technology Course. Creative Education. 3(3): 304-308.

Yu Aimee Zhang. Developing Animated Cartoons for Economic Teaching. Journal of            University Teaching & Learning Practice. 9(2): Art 5.

Ahmad Zamzuri Mohamad Ali. 2010. Effects of Segmentation of Instructional           Animation in Facilitating Learning. Journal of Education and Training. 2(2): 15-29.

No comments:

Post a Comment